KUCHING, 7 Feb: Pasukan Polis Marin Wilayah 5 (PPM W5) Kuching berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok dan minuman keras tidak bercukai kastam berjumlah RM724,570 dalam satu operasi di Kota Padawan, pada Khamis.
Menurut, Komander PPM Wilayah 5 ACP AB Rahman Mat Hasan berkata rampasan telah dibuat dalam satu serbuan ke atas sebuah premis di Batu 10, Kota Padawan sekitar jam 11 pagi semalam.

“Sepasukan anggota Unit Risikan Marin (URM) PPM W5m enahan seorang lelaki warga tempatan dan menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan, Titan Ventures Company, yang terletak di No. 40, Jalan Penrissen 10 Miles Bazaar, Kota Padawan, Lorong 1B,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Hasil pemeriksaan tambahnya operasi mendapati premis berkenaan menyimpan pelbagai jenis minuman keras dan rokok tidak cukai serta tidak memiliki pelekat setem daripada Kastam DiRaja Malaysia.
“Suspek ditahan dan barangan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Bahagian Jenayah Siasatan Jabatan (BJSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu: (Memiliki/Menyimpan/Menyembunyi/Mempunyai apa-apa barangan tidak berkastam atau barang larangan), memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – TVS