KUCHING, 7 Feb: LANDAS Summit 2025 yang bakal berlangsung tiga hari bermula 24 hingga 26 Februari ini akan mengangkat tema kecerdasan buatan (AI) dan perancangan strategik Jabatan Tanah dan Survei (JTS) ke arah tahun 2030.
Pengarah Jabatan Tanah dan Survei Awang Zamhari Awang Mahmood berkata ini adalah sejajar dengan matlamat berpandangan jauh untuk memperkasakan perkhidmatan kepada rakyat yang memanfaatkan teknologi data dan AI.
“JTS kini bukan sekadar sebuah organisasi pentadbiran, tetapi sebuah institusi penting dalam pembangunan Sarawak, terutamanya dalam memastikan pengurusan dan pentadbiran tanah yang cekap, pembangunan infrastruktur yang terancang dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Kesyukuran Ulang Tahun yang ke-107 dan Sambutan Tahun Baru Cina 2025 di Menara Pelita di sini, hari ini.
Awang Zamhari berkata lagi, AI dan big data berupaya meningkatkan kecekapan dalam pemantauan, perancangan pembangunan serta penyampaian maklumat kepada rakyat dengan lebih cepat dan tepat.
“Seterusnya meningkatkan integrasi data antara cawangan-cawangan unit di dalam jabatan ini sendiri untuk mengurangkan risiko pertindihan maklumat dan percanggahan data,” katanya.
Beliau turut menyeru warga JTS agar komited dalam menyahut cabaran dalam usaha memodenkan sistem perkhidmatan dengan mempercepatkan pendigitalan proses kerja menerusi Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).
“Akhir sekali, memperkukuh budaya kerja berteraskan inovasi dengan melatih pegawai dan kakitangan dalam kemahiran analisis data seta penggunaan teknolog baharu bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan,” katanya.