MIRI, 7 Feb: Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi, Syafinaz Deng, diterbangkan dengan helikopter Bell Jetranger B3 milik Hornbill Skyways dari Apau Nyaring ke Lapangan Terbang Marudi hari ini bagi menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada Isnin ini.
Misi penerbangan ehsan itu dikendalikan oleh juruterbang Kapten James Dario Canero, yang membawa Syafinaz dari kawasan pedalaman Miri pada jam 4.32 petang.
Menurut Pegawai Daerah Beluru, Charles Aloysius Lisu, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Beluru, helikopter tersebut sebelum ini digunakan untuk menghantar bantuan makanan kepada penduduk Apau Nyaring, yang terputus hubungan selama dua minggu akibat jalan runtuh.
“Oleh itu, pihak kampung telah memohon bantuan daripada juruterbang helikopter Hornbill Skyways bagi menghantar pelajar ini ke SMK Marudi untuk menduduki peperiksaan STPM semasa helikopter dalam perjalanan pulang ke Miri,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa misi penghantaran bantuan ke Apau Nyaring dijangka selesai esok, memberi manfaat kepada 276 penduduk komuniti Penan di kawasan tersebut.
Syafinaz dihantar oleh ibu bapanya sebelum menaiki helikopter. Setibanya di Marudi pada jam 5.10 petang, beliau disambut oleh pegawai-pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Baram.