PUTRAJAYA, 7 Feb: Jemaah Menteri memutuskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) boleh memberikan nasihat kepada umat Islam berkaitan keperluan menjaga akidah ketika menghadiri majlis di rumah ibadat bukan Islam.
Menerusi kenyataan bersama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Jemaah Menteri menegaskan bahawa setiap dasar yang dirangka perlu mengambil kira aspek perpaduan nasional serta mendapatkan kelulusan Kabinet terlebih dahulu.
“Pada masa yang sama, Kementerian Perpaduan Negara akan terus menyemarakkan pelaksanaan Dialog Harmoni bagi memperkukuhkan keharmonian dan menggalakkan interaksi antara penganut pelbagai agama di negara ini,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Mohd Na’im sebelum ini mengemukakan cadangan garis panduan tersebut susulan pertanyaan daripada umat Islam mengenai jemputan ke majlis anjuran masyarakat bukan Islam yang mungkin mengandungi unsur keagamaan.
Segala isu berkaitan keharmonian agama juga akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI), yang dipengerusikan bersama dan dianggotai oleh 24 wakil pelbagai agama termasuk Islam, Buddha, Hindu, Kristian, Sikh, Tao, dan Baha’i.
Mesyuarat JK HARMONI Bil 1/2025 dijadualkan berlangsung bulan ini bagi mendapatkan pandangan daripada semua wakil agama. – TVS