KUCHING, 7 Feb: Keadaan banjir di Sarawak semakin pulih apabila 61 pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup setakat pukul 12 tengah hari ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), sebanyak 22 PPS masih beroperasi, menempatkan seramai 4,486 mangsa daripada 1,445 keluarga di seluruh negeri.
Bahagian Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi, iaitu 1,881 orang daripada 590 keluarga yang ditempatkan di lima PPS. Sementara itu, di Bahagian Sibu, seramai 1,186 mangsa daripada 394 keluarga masih berlindung di enam PPS.
Jumlah mangsa banjir menunjukkan sedikit penurunan berbanding tengah malam Khamis, yang merekodkan 4,540 mangsa.
Lima hari lalu, jumlah mangsa banjir di Sarawak melebihi 12,000 orang.