Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Program Gotong-Royong Perdana yang diadakan selepas bencana banjir di Pujut Sungai Adong, Miri hari ini. Foto TVS

Usaha bersama pastikan kebersihan selepas banjir

ByVanessa Enjop

MIRI, 6 Feb: Kejayaan usaha pembersihan pasca banjir bukan hanya bergantung kepada tindakan pihak berkuasa, tetapi turut memerlukan sokongan dan kerjasama penuh daripada masyarakat setempat.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, menekankan bahawa penduduk harus memainkan peranan lebih proaktif dalam menjaga kebersihan persekitaran, terutama selepas kejadian banjir.

Dato Sri Lee Kim Shin ketika menghadiri Program Gotong-Royong Perdana di Pujut Sungai Adong bersama komuniti hari ini. Foto TVS

“Penduduk perlu memahami bahawa tanggungjawab menjaga kebersihan bukan hanya terletak di bahu Majlis Bandaraya.

“Kita semua perlu bersama-sama memastikan sampah dibuang dengan betul dan tidak dibiarkan bertaburan di tepi jalan atau dalam parit,” katanya ketika menyertai Program Gotong-Royong Perdana di Pujut Sungai Adong hari ini.

Kim Shin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Senadin turut memaklumkan bahawa pihak berkuasa telah menyediakan tong sampah khas bagi memudahkan pembuangan sisa bersaiz besar.

“Saya berharap semua penduduk akan menggunakan kemudahan ini sebaik mungkin dan tidak membuang sampah secara sembarangan,” tambahnya.

Selain kerja pembersihan, program ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pengurusan sisa yang lebih sistematik bagi mengelakkan risiko pencemaran serta penyebaran penyakit pasca banjir.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar wakil penduduk dan pihak berkuasa tempatan berbincang bagi mengenal pasti lokasi strategik untuk mengumpul sampah sebelum dihantar ke tapak pelupusan.

“Kita ingin memastikan sistem pengurusan sampah lebih teratur dan efisien. Ini bukan hanya untuk pemulihan pasca banjir, tetapi juga sebagai langkah jangka panjang bagi memastikan kebersihan kawasan perumahan terjaga,” ujarnya.

Dengan lebih 400 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan bukan kerajaan (NGO) serta sukarelawan, program gotong-royong ini membuktikan semangat kebersamaan dalam memastikan komuniti bangkit semula selepas dilanda musibah.

Penduduk setempat juga dialu-alukan untuk menyertai usaha pembersihan ini bagi mempercepatkan pemulihan kawasan yang terjejas.

Pendaftaran sukarelawan boleh dibuat melalui Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Miri. Jadual pembersihan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan