Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), Datuk Dr. Hazland Abg Hipni telah menerima kunjungan Profesor Woo Wing Thye dan Profesor Leong Yuen Yoong dari UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN), Ibu Pejabat Asia, Sunway Universiti.

Sarawak, komuniti antarabangsa komited tangani perubahan iklim

ByFebbright James

KUCHING, 6 Feb: Sarawak komited mengeratkan hubungan dengan komuniti antarabangsa bagi menangani perubahan iklim, mempromosikan penyelesaian tenaga mampan, serta melindungi masa depan untuk generasi akan datang.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), Datuk Dr. Hazland Abg Hipni menerusi satu kenyataan sejurus menerima kunjungan Profesor Woo Wing Thye dan Profesor Leong Yuen Yoong dari UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN), Ibu Pejabat Asia, Sunway Universiti, di sini pada Khamis.

Menurutnya kunjungan itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama dalam pembangunan mampan dan ketahanan terhadap perubahan iklim.

“Perbincangan tertumpu kepada keperluan kritikal untuk mengintegrasikan unjuran kenaikan paras laut (SLR) ke dalam pemodelan sektor kediaman, industri, dan tenaga di Sarawak.

“Mesyuarat tersebut menekankan bahawa pandangan jauh dalam perancangan ini amat penting untuk memastikan ketahanan infrastruktur tenaga terhadap ancaman perubahan iklim serta bagi meningkatkan kecekapan perancangan keselamatan kerajaan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Hazland menyatakan komitmen Sarawak terhadap tenaga mampan serta ketahanan iklim.

Jelasnya kedua-dua pihak bersetuju untuk meneroka lebih banyak kerjasama dalam pemodelan sektor tenaga dan cadangan dasar bagi melindungi infrastruktur tenaga Sarawak daripada kenaikan paras laut.

Hazland memberitahu satu pelan komprehensif diperlukan untuk pemodelan sektor tenaga, perumahan, dan industri yang disesuaikan dengan geografi pesisir pantai Sarawak serta dinamik tanah seperti mendapan dan kenaikan tanah.

“Pemahaman faktor-faktor ini penting bagi penilaian risiko yang tepat dan penyesuaian yang berkesan.

“Pendekatan ini merangkumi empat komponen utama merangkumi perancangan berasaskan senario iaitu menilai tahap kerentanan infrastruktur tenaga, perumahan, dan industri terhadap pelbagai senario pelepasan karbon serta kenaikan paras laut.

“Kedua ialah analisis geospatial iaitu memetakan kawasan perumahan, industri, dan aset tenaga yang berisiko tinggi dan ketiga penilaian risiko iaitu menilai kesan ekonomi dan sosial terhadap sistem tenaga Sarawak.

“Keempat ialah model pengoptimuman yang menggabungkan faktor kenaikan paras laut dalam perancangan infrastruktur untuk memastikan pelaburan dalam sistem tenaga yang lebih tahan lasak,” ujarnya lagi.0

Kenyataan itu menyebut, fenomena cuaca yang ekstrem semakin kerap berlaku menunjukkan perubahan iklim dan peningkatan paras air laut perlu ditangani segera oleh kerajaan.

“Banjir di Sarawak baru-baru ini, ribut hujan dahsyat di Balkan pada Oktober lalu dan kejadian banjir luar biasa di Gurun Taklimakan China iaitu sebuah kawasan yang kering dan sering dilanda kemarau menjadi petandai perlunya ada perancangan bencana yang lebih kukuh oleh kerajaan.

Kenyatan itu turut menyifatkan insiden limpahan air laut di pesisir pantai China pada Oktober 2024, dari Liaoning hingga Jiangsu, menjadi amaran serius tentang ancaman yang semakin meningkat.

Kejadian ini menyebabkan bandar-bandar pesisir dilanda banjir dalam beberapa minit walaupun tanpa hujan atau angin dipercayai berpunca daripada pergerakan dasar laut.

Walaupun jarang berlaku, kejadian ini menekankan keperluan bagi kerajaan untuk memasukkan risiko seumpama ini dalam perancangan keselamatan.

“Pemindahan tenaga pakar, industri, dan aset utama ke bahagian barat China boleh dijadikan model bagi Sarawak untuk menilai dan menangani kelemahan kawasan pantainya secara proaktif. Mengabaikan risiko ini boleh membawa kesan ekonomi dan sosial yang serius.

”Peningkatan paras laut dan pergerakan dasar laut memberi ancaman besar kepada kawasan pesisir yang menempatkan kediaman, industri, serta infrastruktur tenaga yang penting.

“Kerentanan ini sejajar dengan trend global apabila kajian menunjukkan ratusan kawasan perumahan, industri, dan loji tenaga di seluruh dunia mungkin ditenggelami air menjelang pertengahan abad akibat perubahan iklim,” menurut kenyataan itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan