KUCHING, 6 Feb: Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) bertekad memperkukuh kerjasama dengan negara Bangladesh dalam merancakkan pembangunan industri pengeluaran makanan di wilayah ini.
Menurut Presiden SBF serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Sarawak (SCCI), Dato Sri Abang Abdul Karim Tun Openg, kerjasama antara kedua-dua pihak yang melibatkan beberapa sektor penting telah dikenal pasti.
âBangladesh memiliki potensi pembangunan sektor makanan yang sangat luas dan kita akan menggunakan peluang ini untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman di dalam bidang ini.
âIni termasuk penggunaan teknologi di dalam pengeluaran beras,â katanya ketika ditemui media selepas sesi perjumpaan bersama SBF dan delegasi Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia di sini.
Abang Abdul Karim menjelaskan, hasrat itu selari dengan komitmen Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memfokuskan kepada pembangunan sektor pengeluaran makanan dan produk hiliran yang berkaitan.
âKita akan melantik pihak yang bertanggungjawab mewakili SBF dalam memastikan perancangan dan kerjasama dengan Bangladesh ini berjalan lancar,â jelasnya.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Md. Shameem Ahsan berkata, Bangladesh berminat untuk meneroka kerjasama di dalam beberapa sektor dan bidang baharu di Malaysia, termasuk di Sarawak.
âSaya sangat gembira untuk memberitahu bahawa Suruhanjaya Tinggi Bangladesh dan SBF telah memeterai Memorandum Kerjasama (MOC) dua tahun yang lepas dan ini menjadi asas penting dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua pihak.
âKelebihan ini akan kita manfaatkan untuk menerokai kerjasama dalam bidang baharu yang berpotensi besar,â katanya. – TVS