ALOR SETAR, 6 Feb: Bantuan kewangan dan sokongan kepada rakyat terus menjadi kelegaan bagi golongan terkesan yang menyifatkankan inisiatif itu membantu meringankan beban perbelanjaan keluarga dan memastikan kelangsungan hidup yang lebih baik.
Seorang tukang cuci, Haslina Abdul Halim, 54, berkata sebagai ibu tunggal kepada empat anak, pendapatannya digunakan sepenuhnya untuk keperluan rumah yang dihuni bersama empat anak, seorang menantu dan tiga cucunya.
“Anak saya walaupun sudah berkahwin masih tinggal bersama saya sebab dia pun kerja biasa sahaja. Kami sama-sama sediakan keperluan dan bila dapat Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sangatlah membantu sebab dapat tampung belanja keluarga besar kami,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Haslina yang sebelum ini merupakan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) berkata bantuan yang diterima amat bermakna dalam mengurangkan beban mereka yang kurang berkemampuan.
Sementara itu, Mariah Abd Rahman, 42, pula berkata walaupun tidak mendapat STR, dua anaknya yang masih bersekolah rendah menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) justeru sedikit sebanyak membantu meringankan perbelanjaan awal tahun.
“Awal tahun memang banyak perbelanjaan. Anak bongsu saya masih di tadika dan yurannya bukan murah sekarang. Dengan adanya BAP, dapatlah tambah-tambah sikit untuk beli peralatan sekolah mereka,” katanya.
Mariah yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebuah syarikat berkata bantuan itu sangat membantu menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anaknya terutamanya buku dan alat tulis.
Bagi seorang suri rumah, Shahni Farhana Mat Sahir, 39, bantuan STR yang diterima suaminya turut menjadi ‘talian hayat’ untuk menampung keperluan sekolah anak-anak mereka.
“Dengan bantuan ini, saya dapat pastikan anak-anak mempunyai peralatan sekolah yang mencukupi dan selesa untuk memulakan sesi persekolahan,” kata ibu kepada dua cahaya mata itu.
STR Fasa 1 2025 telah disalurkan bermula 22 Jan lepas dengan peruntukan sebanyak RM2.3 bilion berbanding RM2.1 bilion pada tahun lepas.
Sementara itu, BAP bagi murid Tahun 1 hingga Tingkatan 4 sesi 2024/2025 diagihkan bermula 13 Jan lepas manakala bagi pelajar Tingkatan 6 semester 2 dan Tahun 1 Sesi 2025/2026, agihan akan bermula bermula 16 Feb ini. -TVS