KUCHING, 6 Feb: Pembangunan infrastruktur dan ekonomi di Sri Aman terus menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam usaha mempertingkatkan taraf hidup rakyat di Bahagian berkenaan
Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Anak Hollis, menegaskan bahawa pelbagai projek pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan bakal membawa limpahan manfaat kepada penduduk setempat.
Beliau berkata menerusi Sri Aman Development Agency (SADA), kerajaan negeri komited dalam merealisasikan projek-projek utama seperti Jambatan Lingga yang melintasi Sungai Seterap, Jambatan Batang Lupar 2, serta beberapa projek naik taraf jalan raya yang akan memperbaiki rangkaian pengangkutan di Sri Aman.
Infrastruktur yang lebih baik, katanya, akan merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan, menarik pelaburan, dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Dengan adanya kemudahan asas yang semakin baik, ekonomi Sri Aman akan lebih berkembang pesat.
“Peningkatan akses kepada infrastruktur akan menarik minat pelabur untuk datang ke bahagian ini, sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina & Pelancaran Pesta Cap Goh Mei Peringkat Bahagian Sri Aman.
Selain pembangunan fizikal, kerajaan negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan modal insan bagi memastikan tenaga kerja tempatan bersedia menghadapi cabaran ekonomi masa hadapan.
Francis menekankan kepentingan Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam memastikan generasi muda Sarawak memiliki kemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri moden.
“Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) giat melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkukuhkan penguasaan STEM dan TVET dalam kalangan pelajar.
“Usaha ini bertujuan melahirkan bakat tempatan yang berdaya saing serta berkemahiran tinggi, agar mereka dapat menyumbang kepada pembangunan negeri secara lebih berkesan,” ujarnya.
Beliau turut menggesa ibu bapa agar memberi sokongan kepada anak-anak mereka untuk menceburi bidang ini kerana ia merupakan kunci kepada masa depan yang lebih cerah.
Menurutnya lagi, pendidikan dalam bidang STEM dan TVET bukan sahaja membekalkan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri tetapi juga memberi peluang kepada golongan muda untuk memainkan peranan dalam kemajuan negeri Sarawak.
Majlis yang berlangsung di Sri Aman ini turut dihadiri oleh Pengerusi Simanggang Soon Heng Society, Residen Bahagian Sri Aman, pemimpin masyarakat setempat serta wakil-wakil agensi kerajaan dan sektor swasta. – TVS