KUCHING, 6 Feb: Sepanjang pengoperasian Op Taring Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am (PGA) dari 1 Januari hingga 4 Februari 2025, pasukan itu mencatat kejayaan bernilai RM65.9 juta menerusi 33 kes.
Komander Briged Sarawak PGA, Dr Che Ghazali Che Awang, berkata keseluruhan tangkapan melibatkan 68 individu (61 warga tempatan, tujuh warga asing) serta rampasan 23 kenderaan pelbagai jenis.
“Briged Sarawak PGA pada 4 Februari lepas melakarkan empat kejayaan menerusi Op Taring Alpha, Op Taring Bravo 1 dan Op Taring Charlie dengan nilai rampasan keseluruhan RM9.93 juta,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kes pertama, sepasukan polis dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA, Kuching menjalankan serbuan ke atas sebuah premis di sekitar Daerah Bau yang disyaki menjadi tempat penyimpanan rokok belum lulus cukai kastam.
Pasukan serbuan berjaya menahan tiga lelaki warga tempatan berumur 21 hingga 28 tahun. Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai 10,500 karton rokok putih dan 3,060 karton rokok kretek dalam premis tersebut. Turut dirampas dua lori.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan: RM5,734,000.00.
Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.

Dalam serbuan berasingan, sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 12 PGA, Miri menyerbu sebuah premis di sekitar Daerah Bintulu yang disyaki digunakan untuk menyimpan rokok dan minuman keras seludup.
Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 40 tahun. Hasil pemeriksaan lanjut, mereka menjumpai 1,198 karton rokok putih, 2,348 karton rokok kretek, serta 540.86 liter minuman keras pelbagai jenama.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan: RM2,924,400.00.
Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.

Menerusi satu lagi kes, sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 10 PGA menyerbu sebuah premis di sekitar Bandar Raya Sibu yang disyaki menjadi lokasi penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Pasukan serbuan menahan tiga lelaki warga tempatan dan seorang lelaki warga Indonesia berumur 20 hingga 58 tahun. Hasil pemeriksaan lanjut, polis menjumpai 15,600 liter minyak diesel. Turut dirampas dua lori.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan: RM1,189,688.00.
Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada KPDN Cawangan Sibu untuk tindakan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kes keempat, sepasukan polis dari Cawangan Risik Batalion 23 PGA, Sri Aman menyerbu sebuah premis di sekitar Daerah Simunjan yang disyaki menjadi tempat penyimpanan mercun dan bunga api.
Dalam serbuan itu, pasukan serbuan menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 33 tahun. Pemeriksaan lanjut menemukan 1,202 unit mercun dan bunga api pelbagai jenis.
Anggaran nilai keseluruhan rampasan: RM101,020.00.
Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Simunjan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.