Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Noriani @ Yati Mohamad mencipta pencapaian luar biasa sebagai wanita pertama menjawat jawatan Pengurus Besar Kanan Aset Sarawak, PETRONAS Carigali Sdn Bhd.

Noriani Mohamad: Kebanggaan Sarawak memimpin dan menginspirasi dalam dunia tenaga

ByMuqri Aziz

KUCHING, 6 Feb: Dalam dunia yang sering dianggap “dikuasai golongan lelaki”, Noriani @ Yati Mohamad telah mencipta pencapaian luar biasa sebagai wanita pertama yang mengetuai PETRONAS Carigali Sdn Bhd (Aset Sarawak) dengan memecahkan stereotaip, meraih kejayaan dalam kerjaya yang penuh cabaran dan memberi inspirasi kepada generasi wanita muda.

Dengan hampir 30 tahun pengalaman bersama Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS), kisah hidupnya bukan hanya perjalanan peribadi, tetapi juga simbol kebanggaan untuk Sarawak dan Malaysia.

ANAK JATI SARAWAK BERWAWASAN

Noriani, 53, dibesarkan di Kuching dalam keluarga sederhana, dengan ayahnya seorang mekanik di Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan ibunya seorang kerani di Pejabat Pos Besar Kuching.

Bekas pelajar SMK St. Mary, Kuching, kehidupannya berubah setelah mendapat keputusan cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 1988, apabila Noriani menerima biasiswa PETRONAS untuk melanjutkan pengajian di Colorado School of Mines, Amerika Syarikat, dalam bidang Kejuruteraan Petroleum.

“Sebagai anak kampung yang pemalu, tidak pernah saya bayangkan akan menjejakkan kaki ke universiti di luar negara.

“Biasiswa PETRONAS adalah peluang besar yang saya pegang dengan penuh kesyukuran,” katanya dengan nada penuh emosi.

KERJAYA GEMILANG 30 TAHUN

Selepas tamat pengajian, Noriani memulakan kerjayanya di Kertih, Terengganu, sebagai Jurutera Pemerhati dan ketika itu, jumlah wanita dalam bidang teknikal amat kecil, menjadikan pengalaman itu penuh cabaran.

“Saya bertanggungjawab mengoptimumkan pengeluaran minyak dan gas dari telaga luar pesisir, seperti seorang doktor yang berusaha merawat dan memulihkan kesihatan pesakit,” jelasnya.

“Saya sangat bertuah kerana di Kertih, saya berpeluang mencuba pelbagai peranan. Setiap tiga hingga empat tahun, saya akan bertukar ke peranan yang berbeza. Jadi, saya pernah terlibat dalam bidang teknikal, operasi, perancangan strategik dan juga tekno-komersial. Tanpa disedari, sudah 15 tahun berlalu di Kertih,” katanya.

Kemuncak kerjayanya tiba apabila beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sdn Bhd (Aset Sarawak) pada Jun 2024, mengetuai lebih 2,000 kakitangan serta mengurus ratusan fasiliti darat dan luar pesisir.

“Sebagai anak Sarawak, saya sangat bangga akhirnya dapat kembali ke negeri kelahiran saya untuk menyumbang sesuatu yang bermakna,” katanya.

PROJEK TRANSFORMASI UNTUK SARAWAK

Antara pencapaian terbesarnya adalah memimpin pembangunan Sistem Pemindahan Gas Masam Bersepadu Sarawak (SISGES) di Tanjung Kidurong, Bintulu.

Projek itu bukan sahaja menyumbang sepertiga bekalan gas Sarawak, tetapi juga memacu pembangunan ekonomi negeri.

“Ia bukan sekadar projek teknikal tetapi juga melibatkan pelbagai pihak, termasuk kerajaan Sarawak.

“Saat saya membentangkannya kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah satu penghormatan besar sebagai anak negeri,” katanya penuh bangga.

PEMIMPIN WANITA YANG MENGINSPIRASIKAN

Sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengurus Besar Kanan Aset Sarawak dalam sejarah PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Noriani menyedari tanggungjawab besar yang digalasnya.

“Kehadiran saya di sini bukan hanya untuk diri sendiri tetapi juga untuk membuka pintu kepada lebih ramai wanita.

“Saya mahu menunjukkan bahawa wanita boleh mencapai kejayaan dalam bidang yang sering dianggap ‘wilayah lelaki’,” tegasnya.

Beliau turut memuji PETRONAS atas komitmen terhadap kepelbagaian dan keterangkuman (D&I).

PESANAN UNTUK GENERASI MUDA

Noriani melihat perjalanannya sebagai peluang untuk memberi inspirasi kepada generasi muda, terutamanya wanita.

“Kepada wanita di luar sana, teruskan berani mengejar impian dan mengatasi setiap cabaran. Jangan takut untuk melangkah ke bidang yang mencabar. Percayalah pada diri sendiri dan yakin bahawa anda mampu mencapai perkara luar biasa,” katanya.

Beliau juga menggalakkan anak muda Sarawak untuk melihat PETRONAS sebagai platform membina kerjaya.

MELANGKAH KE HADAPAN DENGAN HARAPAN

Dengan baki tujuh tahun sebelum persaraan, Noriani tidak mahu sekadar menjadi simbol kejayaan tetapi juga pemangkin perubahan.

“Saya mahu meninggalkan legasi yang lebih baik, bukan hanya untuk PETRONAS tetapi untuk komuniti. Kejayaan sebenar bagi saya adalah apabila kita dapat memberi impak positif kepada orang lain,” katanya.

Kisah Noriani @ Yati Mohamad adalah bukti bahawa wanita mampu mencipta sejarah dan memimpin perubahan, walaupun dalam bidang yang dikuasai lelaki.

Sebagai kebanggaan Sarawak, beliau telah membuka jalan untuk generasi masa depan dan mengangkat nama negeri tercinta di persada dunia.

Anak Sarawak ini adalah inspirasi sebenar – seorang pemimpin, perintis dan ikon perubahan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan