KOTA SAMARAHAN, 6 Feb: Sebuah kereta musnah terbakar dalam kejadian di kawasan berhampiran Kampung Pangkalan Kuap, Jalan Dato Mohd Musa, hari ini.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.31 pagi sebelum menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Samarahan ke lokasi.
“Setibanya pasukan operasi di lokasi pada jam 6.48 pagi, didapati sebuah kenderaan terbakar 100 peratus. Seorang mangsa berjaya keluar menyelamatkan diri dan mengalami kecederaan ringan,” katanya menerusi kenyataan.
Pasukan perubatan EMRS telah memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum menghantarnya ke hospital untuk tindakan lanjut.
Bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 6.55 pagi.
Selepas memastikan tiada lagi ancaman kebakaran, operasi ditamatkan pada pukul 7.28 pagi.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.