PUTRAJAYA, 6 Feb: Kerajaan akan meneliti semula cadangan pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) bagi membolehkan pemberi maklumat melaporkan kepada pihak media sebelum membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebelum ini kerajaan tidak bercadang untuk meminda Akta 711 kerana mengambil pertimbangan rasionalisasi tertuduh untuk memberi keterangan.
“Ada sebab, rasional untuk itu kerana apabila semua berpendapat (sesuatu berita) itu adalah benar dan mengutuk individu itu disiasat atau mempunyai peluang untuk menjelaskan. Kita sedang melihatnya,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.
Sebelum ini, media melaporkan Azalina memberitahu Dewan Rakyat bahawa pemberi maklumat perlu membuat laporan kepada agensi penguatkuasaan terlebih dahulu.
Katanya, ini adalah supaya agensi berkenaan dapat menentukan sama ada maklumat yang diberikan adalah penting atau perlu diklasifikasikan sebagai kes lama atau kes baharu. – TVS