Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Loji Hidroelektrik Bakun. Foto Sarawak Energy

HEP Bakun dan Loji Janakuasa Sejingkat rangkul Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak

ByFebbright James

KUCHING, 6 Feb: Sarawak Energy terus memperkukuhkan peranannya sebagai peneraju tenaga boleh diperbaharui dengan komitmen teguh terhadap pengurusan alam sekitar yang berkesan dan pembangunan lestari.

Sarawak Energy dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan dua fasiliti utama syarikat tersebut iaitu Loji Hidroelektrik (HEP) Bakun dan Loji Janakuasa Sejingkat memainkan peranan penting dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan tenaga dan pemuliharaan alam sekitar.

Terletak di Batang Balui, bahagian hulu Sungai Rajang iaitu 37 kilometer ke hulu dari Belaga, HEP Bakun berkapasiti 2,520MW ini merupakan loji hidroelektrik terbesar di Malaysia.

Loji ini turut membekalkan tenaga boleh diperbaharui kepada industri di Samalaju melalui Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang turut menyumbang kepada pembangunan industri dan ekonomi negeri.

“Pembangunan tenaga hidro kami selaras dengan prinsip Deklarasi San José yang menekankan kepentingan tenaga lestari dengan keseimbangan antara keperluan tenaga serta kepentingan alam sekitar dan sosial,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili dalam kenyataan tersebut.

Datuk Sharbini Suhaili. Foto Alex Teo (TVS)

Dalam kenyataan yang sama, Sarawak Energy memaklumkan operasi Bakun HEP merangkumi Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) yang komprehensif, memberi tumpuan kepada kualiti air, ekosistem akuatik dan pemuliharaan biodiversiti bagi meminimumkan kesan alam sekitar di samping melindungi ekosistem.

“Loji ini turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat setempat dengan mempertingkatkan infrastruktur awam, meningkatkan akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan serta mewujudkan peluang pekerjaan bagi komuniti sekitar.

“Selain itu, HEP Bakun menyokong usaha elektrifikasi luar bandar yang membolehkan akses kepada elektrik bagi komuniti pedalaman dan meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Loji Janakuasa Sejingkat. Foto Sarawak Energy

Program biodiversiti Sarawak Energy juga menggalakkan ekopelancongan dan peluang penyelidikan, memberi manfaat kepada komuniti setempat sambil meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar.

Sementara itu, kenyataan tersebut memakumkan bahawa Loji Janakuasa Sejingkat memainkan peranan penting bukan sahaja dalam meningkatkan keselamatan tenaga tetapi juga menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar.

“Sebagai loji janakuasa arang batu pertama di Borneo dan kedua di Malaysia, fasiliti berkapasiti 150MW ini beroperasi dengan cara pengurusan alam sekitar yang kukuh, termasuk proses penjanaan semula resin dan rawatan air sisa.

“Loji ini juga terletak berhampiran tanah lembap berlumpur yang merupakan habitat penting bagi hidupan liar, termasuk burung migrasi.

“Kawasan ini diiktiraf sebagai ‘East Asian-Australasian Flyway Network Site’ pertama di Malaysia yang berfungsi sebagai hentian penting bagi burung yang berhijrah dari Artik ke Australia menjadikannya kawasan ekologi penting yang memerlukan pemuliharaan,” menurut kenyataan itu.

Loji Janakuasa Sejingkat turut menjadi lokasi CHITOSE Carbon Capture Central (C4) Sarawak hasil kerjasama antara Sarawak Energy, Sarawak Biodiversity Centre, dan Kumpulan CHITOSE Jepun.

Fasiliti ini menggunakan gas serombong dari loji arang batu untuk menanam mikroalga yang menyumbang kepada penangkapan karbon serta pengeluaran produk boleh diperbaharui seperti biofuel dan biojisim kering.

“Lebih penting lagi, inisiatif ini mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 450 tan CO2 setahun, sambil mewujudkan peluang pekerjaan dan menyokong kelestarian alam sekitar.

“Selain itu, Loji Janakuasa Sejingkat menempatkan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) skala utiliti pertama Malaysia yang meningkatkan kestabilan grid dan menyokong integrasi tenaga boleh diperbaharui,” tambah kenyataan itu.

HEP Bakun dan Loji Janakuasa Sejingkat menerima Anugerah Emas dalam kategori Syarikat Perusahaan Besar & Berkaitan Kerajaan (GLC) pada Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak ke-11 (PSEA) 2025. Foto Sarawak Energy

HEP Bakun dan Loji Janakuasa Sejingkat menerima Anugerah Emas dalam kategori Syarikat Perusahaan Besar & Berkaitan Kerajaan (GLC) pada Anugerah Alam Sekitar Premier Sarawak ke-11 (PSEA) 2025 yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Fasiliti lain di bawah Sarawak Energy seperti HEO Batang Ai, HEP Murum, Loji Janakuasa Mukah, dan Loji Janakuasa Tanjung Kidurong turut menerima Anugerah Merit dalam kategori yang sama.

“Kami berasa amat berbesar hati menerima anugerah ini yang mengiktiraf usaha kami dalam menyokong pembangunan lestari.

“Penghargaan ini memberi motivasi kepada kami untuk terus beroperasi secara bertanggungjawab dan memajukan tenaga boleh diperbaharui di samping mengutamakan pertimbangan alam sekitar dan sosial demi kesejahteraan masyarakat Sarawak,” kata Sharbini. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan