KOTA SAMARAHAN, 6 Feb: Bintang muda Muay Thai Sarawak, Muhammad Hasbullah masih menanti keputusan pihak pengurusan sama ada beliau dibenarkan kembali ke gelanggang selepas mengalami kecederaan dalam Rentap Fighting Championship, Januari lalu.
Hasbullah, 21, yang kini dalam fasa pemulihan, menyatakan kesediaannya untuk kembali bertarung jika diberikan lampu hijau untuk menyertai Kejohanan Muay Thai T-Fight di Kelantan pada 14 Februari ini.
“Saya sekarang masih menunggu keputusan dari pihak pengurusan sama ada saya boleh bertarung atau tidak susulan kecederaan yang saya alami.
“Jika diberikan keizinan, saya siap menerima tentangan daripada mana-mana petarung,” katanya kepada TVS pada Rabu.
Anak jati Sadong Jaya itu sebelum ini mencipta sejarah dengan menjuarai WBC Muay Thai Malaysia dalam kategori Bantamweight Lelaki, sekali gus menjadi pemegang pertama tali pinggang WBC Muaythai Malaysia National Champion dalam kategori tersebut.
Dengan kejayaan itu, Hasbullah bertekad untuk menguji kemampuannya di pentas yang lebih besar dan menjadikan Muay Thai T-Fight sebagai pentas pemanas badan sebelum beraksi di kejohanan antarabangsa.
Edisi kelima Muay Thai T-Fight 2025 bakal menyaksikan persaingan sengit antara petarung terbaik tanah air, dengan lebih 100 atlet amatur berentap di pekarangan Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu.