KUALA LUMPUR, 6 Feb: Kerajaan Malaysia terus melangkah ke hadapan dalam usaha mencapai kelestarian alam dengan memperkenalkan Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS), kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, program ini membolehkan syarikat korporat mendapat akses langsung kepada bekalan tenaga elektrik hijau dari penjana tenaga boleh baharu (TBB), sebagai alternatif kepada sumber tenaga konvensional.
“Program CRESS menyediakan mekanisme dan kerangka perolehan tenaga hijau yang jelas sebagaimana yang ditetapkan untuk syarikat korporat untuk memenuhi komitmen Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) mereka,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zahir Hassan (Pakatan Harapan – Wangsa Maju) yang ingin tahu keberkesanan pelaksanaan CRESS sebagai akses pihak ketiga bagi perolehan tenaga khususnya manfaat dari segi ekonomi.
Menurut Fadillah, inisiatif ini juga menyediakan peluang ekonomi baharu dengan membuka akses grid bekalan elektrik kepada penjana TBB dan pengguna elektrik hijau, menjadikannya pilihan menarik bagi syarikat yang berusaha untuk menyokong inisiatif kelestarian dan mengurangkan jejak karbon.
“Ketersediaan akses untuk tenaga elektrik hijau dijangka akan menarik pelaburan hijau yang menitikberatkan komitmen kelestarian alam dan bernilai tinggi ke negara ini dan mewujudkan limpahan nilai ekonomi baharu kepada negara,” ujarnya.
Tambah beliau, setakat ini, dua penjana TBB, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan UEM Lestra, telah berjaya mengikat perjanjian perolehan tenaga hijau dengan pengguna elektrik hijau, dengan kapasiti perbekalan dianggarkan sekitar 400 megawatt (MW), melibatkan pelaburan sebanyak RM1.2 bilion. – TVS