Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke. Foto Jabatan Penerangan Malaysia.

Dewan Rakyat: MOT tangani isu integriti PUSPAKOM berkaitan pemeriksaan kenderaan

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 6 Feb: Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan komitmennya dalam memastikan ketelusan dan integriti dalam proses pemeriksaan kenderaan di PUSPAKOM, khususnya berkaitan dakwaan kewujudan kartel yang meluluskan kenderaan yang tidak memenuhi syarat teknikal.

Menterinya, Anthony Loke berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu integriti dan akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan isu ini ditangani dengan berkesan.

Katanya, sebagai langkah memastikan integriti pemeriksaan kenderaan terus dipertingkatkan, MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan beberapa tindakan kawal selia yang lebih ketat.

“Pemantauan berkala oleh JPJ di semua cawangan PUSPAKOM, dengan penekanan khusus kepada cawangan utama yang mempunyai jumlah pemeriksaan yang tinggi.

“Penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu kepada Bahagian Kejuruteraan Automotif (BKA) JPJ negeri bagi memperkukuh pengawalseliaan PUSPAKOM,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Syahredzan Johan (Pakatan Harapan – Bangi) yang meminta penjelasan mengenai langkah-langkah menangani isu-isu rasuah berkaitan pemeriksaan keselamatan kenderaan selepas operasi yang dijalankan oleh JPJ ke atas PUSPAKOM tahun lepas.

Antara lain, katanya, pihaknya turut meningkatkan jumlah sampel pemeriksaan kualiti yang akan dijalankan oleh pegawai-pegawai BKA, JPJ serta pemantauan lebih ketat terhadap aspek keselamatan kenderaan, termasuk sistem brek dan tayar, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Dalam usaha memperkukuh lagi sistem pemeriksaan kenderaan, Loke memberitahu, MOT kini berada di fasa akhir untuk memuktamadkan pelantikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) baharu.

“Proses penilaian terhadap permohonan yang dikemukakan telah selesai melibatkan semakan pematuhan terhadap syarat-syarat yang ditetapkan termasuk keupayaan kewangan dan pembangunan serta keupayaan untuk melaksanakan fungsi pemeriksaan kenderaan motor bagi pihak JPJ.

“Pelantikan pihak yang berjaya memenuhi semua syarat ini dijangka dapat dimuktamadkan dan diumumkan dalam masa terdekat,” ujarnya.

Sehubungan itu, menurut Loke, semua langkah yang dirangka adalah selaras dengan dasar kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dengan memastikan pemeriksaan kenderaan dilakukan secara telus, professional dan berintegriti. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan