KUALA LUMPUR, 6 Feb: Malaysia bersedia sepenuhnya untuk menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menandakan kali kelima negara ini memimpin blok serantau tersebut sejak kali terakhir pada 2015.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, pihaknya berazam untuk memastikan ASEAN kekal relevan, stabil dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran global.
“Malaysia telah menggariskan tiga keutamaan Kepengerusiannya; iaitu yang pertama, Malaysia akan memberi tumpuan kepada meningkatkan usaha memastikan rantau Asia Tenggara kekal aman, stabil, selamat dan makmur ketika berhadapan cabaran geopolitik antarabangsa semasa.
“Ini akan dilaksanakan menerusi membina keyakinan strategik, dialog dan diplomasi, dengan berlandaskan prinsip Kepusatan ASEAN, atau ASEAN Centrality,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah (Barisan Nasional – Paya Besar) berhubung objektif Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dalam memacu kesatuan, daya tahan dan relevansi ASEAN dari aspek politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
Selain itu, kata Mohamad, Malaysia juga mengutamakan pemerkasaan ekonomi dengan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN serta menaik taraf Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) dan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).
Antara lain, ujarnya, Malaysia turut mempromosikan komuniti inklusif dan mampan yang menangani jurang pembangunan, meningkatkan kualiti hidup, serta membendung kesan perubahan iklim bagi manfaat seluruh rakyat ASEAN.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Malaysia komited dalam mempercepatkan keanggotaan penuh Timor-Leste sebagai negara ke-11 ASEAN.
“Malaysia akan memimpin usaha mempercepat dan mempermudah pelaksanaan Pelan Hala Tuju, terutama dalam aspek yang melibatkan 88 Instrumen Undang-Undang serta perjanjian ASEAN yang perlu disertai oleh Timor-Leste.
“Daripada jumlah tersebut, 69 perjanjian dan instrumen berada di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), 13 di bawah Komuniti Politik dan Keselamatan (APSC), serta 6 lagi dalam Komuniti Sosio-Budaya (ASCC),” jelasnya. – TVS