KUALA LUMPUR, 6 Feb: Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai rakan dagang strategik Amerika Syarikat (AS) setelah perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM324.9 bilion pada tahun 2024.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, AS kini merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, menyumbang 11.3 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
“Eksport ke AS berjumlah RM198.6 bilion, bersamaan 13.2 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, manakala import dari AS pula mencapai RM126.3 bilion, bersamaan 9.2 peratus daripada jumlah import Malaysia.
“Dari segi pelaburan pula, AS adalah antara pelabur terbesar dan sehingga kini, Malaysia telah menjadi destinasi pilihan pelaburan untuk lebih 600 syarikat AS,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Wira Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (Perikatan Nasional – Kubang Pasu) mengenai langkah kerajaan dalam menangani isu geopolitik dan ketidaktentuan perdagangan dunia, khususnya kemungkinan kenaikan tarif yang akan memberi kesan terhadap eksport Malaysia terutamanya ke AS.
Selain itu, Tengku Zafrul juga menegaskan bahawa Malaysia komited untuk mengekalkan hubungan perdagangan yang kukuh dengan AS, terutama dalam memastikan negara tidak dikenakan kenaikan tarif seperti yang berlaku kepada China, Kanada, dan Mexico.
Sementara itu, beliau berkata, sektor elektrik dan elektronik (E&E) terus menjadi tunjang eksport Malaysia, dengan jumlah keseluruhan eksport barangan mencecah RM1.508 trilion pada 2024.
“Daripada jumlah export E&E ini pula, sebanyak RM387 bilion atau 64 peratus adalah produk semikonduktor. Pada tahun 2024, pasaran ke AS adalah di dalam kedudukan ketiga teratas bagi semikonduktor yang dieksport daripada Malaysia,” katanya.
Tengku Zafrul memberitahu, walaupun beberapa negara dikenakan kenaikan tarif oleh AS, Malaysia masih terselamat daripada impak terbabit, malah pelaburan AS di Malaysia terus kukuh dengan jumlah pelaburan bagi suku ketiga 2024 mencecah RM5.1 bilion.
Menurutnya, bagi memastikan daya saing sektor semikonduktor kekal berdaya tahan, Malaysia dan AS telah menandatangani Memorandum Kerjasama mengenai Ketahanan Rantaian Bekalan Semikonduktor pada Mei 2022.
“Usaha ini mencerminkan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memastikan rantaian bekalan semikonduktor yang kukuh dan berdaya tahan, serta memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik antara Malaysia dan AS,” ujarnya. – TVS