KUALA LUMPUR, 6 Feb: Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang sebelum ini hanya dilaksanakan di Semenanjung Malaysia kini diperluaskan ke Sarawak, memberi manfaat kepada 100,000 penerima miskin dan miskin tegar di negeri itu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyaluran SARA kini dilakukan secara bulanan melalui MyKad dan setiap penerima akan menerima bantuan sebanyak RM100 sebulan dari Januari hingga Mac, sebelum jumlah itu dinaikkan kepada RM200 mulai April 2025.
“Penerima SARA di Sabah dan Sarawak mulai Januari 2025 adalah berjumlah 210,000 penerima yang telah dikenal pasti berada dalam rekod eKasih dengan pecahan berikut, iaitu penerima SARA Sabah seramai 110,000 orang manakala penerima SARA Sarawak pula seramai 100,000 orang.
“Seperti yang disebutkan dalam jawapan asal saya, 5.4 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) turut akan menerima bantuan tambahan SARA mulai April 2025. Ini terdiri daripada 700,000 penerima SARA sedia ada dan 4.7 juta penerima STR,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Barisan Nasional – Kalabakan) yang ingin tahu pendekatan kerajaan dalam memperluaskan program SARA dengan menyalurkan bantuan melalui kad pengenalan MyKad untuk tahun 2025 berbanding dengan kaedah STR secara tunai.
Jelas Amir, setakat 5 Februari lepas, sebanyak 78 peratus penerima isi rumah di Sarawak telah mula menggunakan bantuan SARA mereka di kedai-kedai runcit termasuk di kawasan pedalaman.
Menurutnya, kerajaan juga komited untuk menambah bilangan kedai runcit berdaftar agar lebih ramai penerima, terutamanya di kawasan luar bandar dapat mengakses keperluan asas dengan lebih mudah.
“Sesi pemantauan di lapangan mendapati penerimaan program SARA adalah amat baik oleh penerima SARA. Berdasarkan maklum balas, penerimaan baik adalah memandangkan rakyat selesa menggunakan MyKad untuk urusan dengan Kerajaan.
“Di samping itu, mekanisme SARA mudah digunakan memandangkan tidak melibatkan aplikasi yang berasingan dan MyKad mudah digunakan seumpama bayaran kad debit atau kad kredit,” ujarnya.
Amir menambah, kerajaan turut memberi jaminan bahawa pemantauan akan dilakukan secara berkala bagi memastikan tiada golongan yang layak tercicir daripada menerima bantuan ini.
Pada Januari, Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan berkata, penyaluran SARA menyaksikan penambahbaikan bantuan bersasar merangkumi sebahagian peningkatan peruntukan Belanjawan 2025 bagi STR dan SARA dalam angka tertinggi iaitu RM13 bilion berbanding RM10 bilion pada tahun lepas. – TVS