KUALA LUMPUR, 6 Feb: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited untuk memperkukuh industri penjagaan dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran serta profesionalisme penjaga (caregivers).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah ini diambil sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat bagi penjagaan warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit terlantar di Malaysia.
Katanya, melalui Institut Sosial Malaysia (ISM), kementerian menyediakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 dalam Bidang Operasi Pusat Jagaan Orang Tua yang terbuka kepada penjawat awam, pengusaha pusat jagaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.
“Bergerak ke hadapan, ISM merancang untuk menambah bidang SKM ke Tahap 4 iaitu peringkat diploma bagi Pentadbiran Pusat Jagaan Orang Tua bagi melahirkan penjaga atau pengasuh yang berkelayakan lebih tinggi.
“Ia selaras dengan hasrat KPWKM untuk menjadikan profesion penjaga dan pengasuh sebagai kerjaya profesional, selain memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” katanya dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Perikatan Nasional – Masjid Tanah) mengenai kajian yang sedang dilaksanakan KPWKM tentang keperluan untuk memperluas pensijilan penjagaan warga emas bagi memastikan bakat tersedia dalam sektor penjagaan sebagai persediaan negara menjadi negara menua menjelang 2030.
Selain itu, kata Nancy, ISM turut menawarkan Kursus Peningkatan Kemahiran sebagai penjaga, yang memberi latihan asas kepada penjaga institusi, sukarelawan, serta individu yang menjaga ahli keluarga.
Menurutnya, kursus ini dilaksanakan mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi memastikan penjagaan dilakukan dengan teknik yang betul dan selamat.
“Pada tahun lalu sahaja iaitu tahun 2024, sebanyak 12 siri kursus telah dilaksanakan dengan penyertaan seramai 385 peserta. Manakala pada tahun ini, kita menyasarkan untuk lebih 400 orang lagi peserta untuk menerima dan menamatkan kursus ini.
“Dalam usaha memastikan perlindungan lebih baik kepada warga emas, KPWKM sedang meneliti penggubalan akta khusus bagi warga emas,” ujarnya.
Sementara itu, berhubung dengan penggubalan akta khusus untuk warga emas, pihaknya telah menubuhkan Special Project Team (SPT) yang terdiri daripada wakil kementerian, NGO, ahli akademik, SUHAKAM dan Majlis Peguam bagi mengkaji serta merangka akta yang relevan.
“Manakala berhubung status terkini penggubalan RUU Profesion Kerja Sosial pula, KPWKM kini sedang giat memuktamadkannya dan dirancang untuk dibentangkan di Parlimen pada tahun ini juga,” katanya. – TVS