BINTULU, 6 Feb: Pengeluaran gas petroleum cecair (LPG) dikhuatiri terjejas ekoran kerosakan saluran paip gas di Tanjung Kidurong akibat kejadian tanah runtuh, semalam.
Sumber memaklumkan bahawa kejadian tanah runtuh tersebut berlaku berhampiran kilang isian semula silinder LPG di kawasan industri utama Bintulu.
Situasi ini mencetuskan kebimbangan kemungkinan berlakunya pengurangan bekalan LPG di pasaran.
Berikutan insiden tersebut, mesej berkaitan potensi kekurangan bekalan LPG mula di media sosial.
Difahamkan pihak berkuasa dan operator gas kini menjalankan pemeriksaan menyeluruh serta usaha pembaikan bagi memastikan bekalan dapat dipulihkan secepat mungkin.
Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak panik dan menunggu kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berkaitan status bekalan LPG.
Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Bintulu, Al Redzamani Abdul Razak ketika dihubungi memaklumkan pihaknya ada menerima aduan berkenaan perkara itu.
Beliau, bagaimanapun, memberitahu bekalan LPG di Sarawak kini bukan lagi di bawah kementerian terbabit, sebaliknya, ia adalah di bawah tanggungjawab Kementerian Utiliti Sarawak atau pihak Petroleum Sarawak (Petros).
“Pihak kami hanya bertanggungjawab untuk menguatkuasakan harga,”katanya. -TVS