KUCHING, 6 Feb: Seramai 5,384 orang daripada 1,618 keluarga masih ditempatkan di 30 pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di seluruh Sarawak setakat pukul 8 pagi ini.
Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bahagian Bintulu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,864 orang daripada 546 keluarga yang ditempatkan di enam PPS.
Sementara itu, Bahagian Miri turut mencatatkan jumlah mangsa yang tinggi dengan seramai 1,184 orang daripada 298 keluarga berlindung di lapan PPS yang masih beroperasi.
Di Bahagian Sibu, seramai 1,142 orang daripada 378 keluarga masih berada di enam PPS.
“Secara keseluruhan jumlah ketua isi rumah dan mangsa sedikit meningkat di bahagian Sibu. Tiada PPS baru dibuka,” kata kenyataan itu.
Banjir yang melanda Sarawak sejak 29 Januari lalu terus memberi kesan besar kepada penduduk dengan Bintulu menjadi kawasan yang paling teruk terjejas.
Pihak berkuasa dan agensi penyelamat terus memantau keadaan dan memberikan bantuan kepada mangsa yang terkesan.