KOTA SAMARAHAN, 6 Feb: Juara muay thai kebangsaan, Muhammad Hasbullah Mood, bersiap sedia untuk sekali lagi mempertahankan kejuaraannya dalam kategori Bantamweight Lelaki WBC Muaythai Malaysia.
Atlet kelahiran Sadong Jaya itu bertekad memastikan tali pinggang kejuaraan kekal dalam genggamannya.
“Saya sedang mempersiapkan diri untuk cabaran seterusnya yang akan berlangsung dalam tempoh enam bulan akan datang bagi mempertahankan gelaran juara WBC Bantamweight Lelaki Kebangsaan,” katanya kepada TVS pada Rabu.
Petarung muda berusia 21 tahun itu tidak mengambil mudah cabaran yang bakal menantinya. Dengan latihan intensif dan strategi yang lebih mantap, beliau berjanji untuk memberikan aksi terbaik di gelanggang.
“Saya akan berentap sehabis baik dan mempamerkan kemahiran yang tinggi dalam tempoh enam bulan akan datang,” tambahnya penuh semangat.
Nama Muhammad Hasbullah mula meniti di bibir peminat sukan tempur selepas kejayaannya merangkul Tali Pinggang WBC Muaythai Malaysia National Champion dalam kejohanan Rentap Fighting Championship yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching.
Kemenangan bersejarah itu diraih selepas menewaskan pencabar hebat dari Pulau Pinang, Amirul, wakil Muaythai Padimas.
Lebih membanggakan, ini adalah kali pertama Tali Pinggang WBC Muaythai Malaysia National Championship dipertandingkan di negara ini, menjadikan Muhammad Hasbullah petarung pertama dari Sarawak yang mencipta sejarah dengan gelaran berprestij tersebut.