KUCHING, 5 Feb: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1.085 bilion bagi menaik taraf dan menggantikan paip baharu di seluruh kawasan di negeri ini melibatkan 461 projek.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, projek yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi itu kini sedang dilaksanakan sejak November 2024.
“Untuk kawasan Pantai Damai kita ada tiga lokasi yang telah dikenal pasti iaitu Kampung Rampangi, Kampung Buntal dan Kampung Santubong.
“Untuk hari ini, kita berada di salah satu lokasi di Bahagian Kuching iaitu di Kampung Rampangi yang melibatkan kos sebanyak RM1.6 juta dengan panjang lebih kurang 10 kilometer.
“Projek ini telah dimulakan pada bulan November lepas dan sudah siap lebih 60 peratus. Kalau mengikut jadual, projek ini hanya mengambil masa selama enam bulan dan akan disiapkan pada bulan Mei depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Projek Bekalan Air: Penggantian Paip bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Kampung Rampangi di sini, pagi tadi.
Beliau berharap dengan penggantian paip baharu ini akan dapat mengurangkan masalah tekanan air rendah di kawasan-kawasan yang berhampiran serta dapat memberikan aliran air yang sepatutnya kepada pengguna sekitar.
Dalam pada itu, Julaihi turut memberitahu, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JLBAB) telah diperuntukkan sekitar RM558 juta bagi melaksanakan 420 projek yang mana Bahagian Kuching adalah sebanyak 24 projek sepanjang 58.91 kilometer bagi penggantian paip baharu sedang dan akan dilaksanakan melibatkan kos bernilai RM17.6 juta.
Manakala, bagi Lembaga Air Kuching (LAK) pula katanya, mempunyai sebanyak 12 projek bernilai RM267 juta, Lembaga Air Sibu (lapan projek) bernilai RM170 juta dan Laku Management Sdn Bhd (21 projek) bernilai RM90 juta sedang dan akan dilaksanakan bagi tempoh masa lima tahun bermula 2024 hingga 2028.
Hadir sama Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan. – TVS