KUCHING, 5 Feb: Kerajaan Sarawak berjaya mencapai purata liputan bekalan air bersih sebanyak 85 peratus di seluruh negeri ini selaras dengan sasaran di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, dalam usaha meningkatkan akses bekalan air bersih, Kerajaan Sarawak berjaya mencapai 90 peratus kadar liputan bekalan air bersih di kawasan bandar manakala di luar bandar kadarnya telah mencecah 70 peratus.
“Ini bermakna kita perlu mencapai liputan bekalan air bersih yang kita sasarkan berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) untuk membekalkan bekalan air bersih yang mencukupi, tetapi banyak lagi projek-projek yang tengah dilaksanakan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke Projek Bekalan Air: Penggantian Paip bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak di Kampung Rampangi, pagi tadi.
Kata Julaihi lagi, pihaknya kini sedang menaik taraf loji-loji rawatan air di kawasan-kawasan tertentu.
“Berdasarkan sasaran kita dalam PCDS 2030, saya boleh katakan sekarang kita berada di landasan yang tepat.Ini usaha yang kita lakukan oleh kementerian saya bersama dengan agensi-agensi pelaksana di bawah kementerian,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan, pihaknya kini dalam proses peringkat akhir untuk menggabungkan empat agensi pelaksana iaitu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JLBAB), Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu dan Laku Management Sdn Bhd sebagai satu entiti.
“Nama baharu bagi gabungan tersebut akan diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kelak dalam majlis pelancaran yang akan dirasmikan selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya. – TVS