MIRI, 5 Feb: Dalam menghadapi bencana yang getir, sukarelawan Ahli Parlimen Belia Malaysia (PBM) bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Miri sanggup meredah sungai menggunakan perahu bagi menghantar bantuan asas kepada mangsa banjir di Sibuti dan Sepupok selepas jalan utama terputus.
Walaupun akses terhad dan keadaan perahu bergantung kepada paras air, ia tidak menjadi penghalang demi memastikan bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan.
Salah seorang sukarelawan, Rapunzel Anthony Jamuh, berkongsi cabaran yang mereka hadapi, khususnya dalam menghantar air mineral yang berat dan memerlukan lima hingga enam buah perahu kecil untuk mengagihkan bekalan ke rumah-rumah yang terjejas.
“Cabaran perahu tu memang ada. Kita cuba untuk bergabung dengan pihak ketua kampung di Sibuti untuk mendapatkan bantuan. Yang paling banyak cabaran ialah menghantar air mineral kerana berat, berbanding dengan barang makanan kering. Kami memerlukan lima hingga enam perahu kecil untuk menghantar bekalan ini ke kawasan perkampungan,” katanya ketika ditemui TVS di Batu Niah hari ini.
Seorang lagi sukarelawan, Colin Jimbat, turut berkongsi pengalaman emosinya ketika menyertai misi bantuan ini.
“Saya rasa gembira kerana dapat membantu sukarelawan dan mangsa-mangsa banjir. Saya berharap lebih ramai akan menjadi sukarelawan dan saya juga berharap air di Batu Niah semakin surut,” katanya.
Selain sukarelawan lapangan, usaha penyediaan makanan juga menjadi elemen penting dalam bantuan ini.
Ia termasuk mengumpul dana daripada syarikat-syarikat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk turut serta dalam memberikan bantuan kemanusiaan.
Menurut Rinnie Sofieyya, salah seorang sukarelawan yang bertanggungjawab dalam penyediaan makanan turut mengongsikan pengalaman membantu mangsa banjir.
“Dana yang kami terima adalah sebanyak RM6,000 untuk bahan mentah dan pembungkusan makanan. Cabaran tetap ada, seperti keletihan, tetapi kami tetap berusaha untuk membantu,” katanya. – TVS