KUCHING, 5 Feb: Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dan Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membangunkan profesional, meningkatkan tadbir urus dan menyokong pertumbuhan ekonomi di Sarawak dan Malaysia.
Menerusi MoU berkenaan, MICPA dan SCOPE komited untuk meningkatkan piawaian profesional dan kecemerlangan pendidikan di Malaysia dengan menyediakan latihan, dengan kemasukan pertama bagi kelayakan MICPA akan dimulakan pada April tahun ini di SCOPE.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE Joseph Lim berkata MoU itu turut mencerminkan komitmen bersama terhadap kecemerlangan, kerjasama, dan pembinaan kapasiti bagi meningkatkan modal insan di Sarawak.
“Dengan menggabungkan kepakaran MICPA dalam bidang perakaunan profesional dan pengetahuan serta rangkaian tempatan SCOPE, kerjasama ini akan menyediakan platform yang kukuh untuk membangunkan generasi pemimpin masa depan di Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kerjasama itu akan mendorong kepada pelaksanaan program latihan yang memperkukuh kemahiran teknikal, etika profesional, dan keupayaan kepimpinan, yang disesuaikan untuk memenuhi keperluan unik Sarawak, di samping membantu membangunkan tenaga kerja yang mahir dan berdaya tahan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“MoU ini akan menjadi bukti komitmen bersama kami terhadap kecemerlangan, inovasi, dan keterangkuman. Bersama-sama, MICPA dan SCOPE akan membuka jalan untuk masa depan yang lebih cerah, memperkasakan individu dan mengukuhkan struktur ekonomi serta sosial Sarawak,” katanya.