KUALA LUMPUR, 5 Feb: Primeworks Studios dan Wau Animation mengumumkan tayangan semula Ejen Ali The Movie di pawagam seluruh Malaysia yang terpilih mulai esok.
Tayangan semula ini untuk mengimbas kembali pengembaraan epik Ejen Ali di Kota Futuristik Cyberjaya dengan penceritaan watak utama yang menyarungkan mantel Projek Satria (sut perisai baharu yang direka khas untuknya menguasai keempat-empat Teras MATA: Tekno (Teknologi), Neuro (Strategi), Kombat (Seni Pertempuran) dan Inviso (Penyamaran).
Filem Ejen Ali telah merekodkan lebih daripada RM30 juta dalam tempoh hanya enam minggu.Filem Ejen Ali telah membuktikan bahawa karya tempatan terus menjadi pilihan hati rakyat Malaysia berbanding judul animasi antarabangsa yang popular.
Cerita yang diarahkan oleh Usamah Zaid Yasin berkisarkan seorang budak lelaki berusia 12 tahun yang menjadi “ejen” untuk sebuah organisasi yang dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (MATA). Berbekalkan keberanian dan keazaman, dia memulakan misi berbahaya untuk membongkar kebenaran, menghadapi perkara yang tidak diketahui dan mencari erti sebenar tanggungjawab sebagai seorang “ejen.”
Lagu tema rasmi “Hanya Kamu”, nyanyian khas artis tersohor tanah air, Dato’ M. Nasir. Lagu pertama daripada album runut bunyi filem kini boleh didengari di platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
Pembikinan lagu tema ini ditulis sendiri oleh Dato’ M Nasir bersama komposer ternama Azri Yunus dari WAU Animation.
“Hanya Kamu” merupakan gabungan ikonik antara bunyi muzik elektronik Ejen Ali dengan kehebatan vokal Dato’ M Nasir, yang terkenal melalui koleksi lagu hitsnya dalam pelbagai genre termasuk pop, rock dan irama tradisional Malaysia.
Seiring dengan evolusi satria Ejen Ali dalam Ejen Ali the Movie 2, lagu ini menjadi seruan penuh semangat untuk generasi muda bangkit menghadapi cabaran dan menjadi versi terbaik diri mereka.
Jangan lepaskan peluang untuk menonton Ejen Ali The Movie 2 di pawagam pada cuti sekolah ini bermula 6 Februari 2025 dan rasai sendiri pengembaraan epik Ejen Ali dalam transformasi, misteri dan debaran!-TVS