TATAU, 5 Feb: Empat keluarga membabitkan 15 penghuni terpaksa berpindah selepas kediaman mereka diancam tanah runtuh di Kilometer 6 Jalan Sangan di sini, malam tadi.
Komander Operasi, Boniface Empaya berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 11.57 malam dengan menggerakkan tiga anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau ke lokasi kejadian.
“Setibanya pihak bomba di lokasi, mendapati telah berlaku tanah runtuh yang melibatkan tiga buah rumah terjejas.
“Terdapat sebuah rumah telah dihempap tanah runtuh di bahagian ruang tamu dan bilik utama, namun penghuni rumah berjaya menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba membuat pemantauan di lokasi dan memberi nasihat agar penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tatau memandangkan situasi semasa masih dalam keadaan bahaya.
“Tiga keluarga seramai 13 orang telah berpindah ke PPS dengan menaiki kenderaan persendirian, manakala satu keluarga seramai dua orang telah berpindah ke rumah saudara terdekat juga menggunakan kenderaan persendirian,” ujarnya.-TVS