KUALA LUMPUR, 5 Feb: Kerajaan memperuntukkan RM40 juta dana khas kepada Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bagi meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak melalui kerja-kerja baik pulih bangunan taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan taman asuhan kanak-kanak (Taska) di seluruh negara.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM26.4 juta diperuntukkan khusus untuk pembelian serta penggantian peralatan dan kelengkapan Tabika dan Taska, memastikan kemudahan yang lebih baik untuk ribuan kanak-kanak di bawah seliaan KEMAS.
“Selain itu, KEMAS telah menerima peruntukan mengurus berjumlah RM1.25 juta di bawah peruntukan khusus peralatan dan kelengkapan Tabika dan Taska.
“Menerusi peruntukan ini, kita hanya menggantikan ataupun membuat pembelian peralatan berdasarkan keutamaan Tabika berkenaan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (Barisan Nasional – Tampin) mengenai tindakan yang diambil bagi menggantikan peralatan dan kemudahan di kelas-kelas Tabika dan Taska KEMAS yang telah rosak serta tidak selamat untuk digunakan khususnya di kawasan luar bandar.
Menjawab soalan tambahan Mohd Isam mengenai kelas berkeperluan khas bagi golongan B40 di seluruh negara, Rubiah berkata, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mengumumkan pembukaan Tabika khas untuk pelajar-pelajar tersebut yang akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Pilot projek ataupun kelas uji cuba (berkeperluan khas) akan dilaksanakan di negeri Melaka, iaitu sebanyak tiga kelas dan usaha-usaha untuk mengadakan satu kelas di setiap negeri akan dilaksanakan pada tahun 2026.
“Sebenarnya usaha untuk mewujudkan kelas khas Tabika dan Taska ini sebenarnya memerlukan peringkat yang teliti, bukan sahaja dari sudut kemudahan, peralatan dan bangunan, malah dari sudut tenaga pengajar juga perlu diberi latihan khas,” ujarnya. – TVS