KUALA LUMPUR, 5 Feb: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) terus komited dalam menyediakan barisan atlet negara bagi menghadapi Temasya Sukan SEA 2025 di Thailand.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pelbagai inisiatif telah digerakkan dengan kerjasama Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK), Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan atlet negara berada di tahap prestasi tertinggi.
Jelasnya, buat masa ini, sasaran pingat masih dalam perbincangan dan akan ditentukan selepas pendaftaran akhir atlet yang dijadualkan pada September ini.
“Walau bagaimanapun, antara sukan-sukan yang dijangka akan menyumbang bilangan pingat yang banyak kepada kontinjen negara adalah akuatik-terjun, berbasikal-trek, hoki, memanah, menembak, pelayaran, skuasy, dan tenpin boling.
“Sebagai mana penetapan sebelum ini, sasaran pingat adalah kepada jumlah pingat keseluruhan dan bukannya mengikut warna pingat. Penetapan ini turut mengambil kira saranan daripada barisan pakar di Nippon Sports Science University (NSSU),” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (Perikatan Nasional – Alor Setar) yang ingin tahu sasaran Malaysia bagi temasya Sukan SEA 2025 serta tahap kesiapsiagaan KBS susulan keputusan tuan rumah Thailand yang telah melakukan rombakan di luar jangkaan membabitkan acara yang akan dipertandingkan.
Menurut Hannah, ketika ini, seramai 350 atlet dari 19 jenis sukan di bawah Program Podium serta 261 atlet Pelapis Kebangsaan dari 15 jenis sukan sedang giat menjalani latihan bersama jurulatih berpengalaman.
Katanya, bagi memastikan prestasi mereka berada pada tahap terbaik, MSN bersama PSK, ISN dan jurulatih telah melaksanakan pelan periodisasi yang dirangka pada 13 November 2024.
Bagaimanapun, Hannah berkata, keputusan tuan rumah untuk menggugurkan beberapa acara dijangka memberi impak kepada kutipan pingat kontinjen Malaysia.
“Pengguguran acara yang dilakukan oleh pihak tuan rumah akan memberi kesan kepada jumlah pingat yang akan dipungut oleh kontinjen negara kerana ia melibatkan acara-acara tumpuan atlet negara seperti sukan akuatik-terjun, berbasikal, gimrama, e-sukan dan pencak silat,” ujarnya.
Sehubungan itu, Hannah menambah, dengan perancangan rapi dan latihan intensif yang sedang dijalankan, Malaysia optimis untuk mencapai kejayaan cemerlang di Sukan SEA 2025 serta kejohanan antarabangsa lain yang bakal berlangsung. – TVS