MIRI, 4 Feb: Pakar cerun daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mula menjalankan kajian terperinci di kawasan berisiko tanah runtuh sekitar Miri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin.
Menteri Bertanggungjawab Terhadap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri itu berkata, pakar tersebut juga diminta untuk memberikan laporan penuh serta cadangan mengenai tindakan yang perlu diambil terhadap perkara ini.
“Kita juga minta pakar-pakar cerun untuk membuat kajian dan memberi juga laporan dan juga cadangan, tindakan-tindakan yang perlu diambil. JKR telah pun memberitahu perkara ini kepada pakar-pakar cerun Malaysia (Slope Specialist) dan pakar sudah turun dan membuat siasatan.
“JKR Malaysia Cawangan Cerun telahpun diminta untuk membantu membuat kajian mengenai kawasan-kawasan yang berisiko tinggi ini iaitu bukit dan cerun,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media ketika mengadakan lawatan di lokasi tanah runtuh di Miri pada Selasa.
Tambahnya lagi, buat masa ini pihak JPBB Miri akan memantau kawasan berisiko tanah runtuh setiap hari.
“Ya, pasukan perlu juga mengadakan rondaan waktu malah juga khasnya apabila ada hujan turun untuk menentukan keselamatan para penduduk dan juga para pengguna jalan raya di sini.
“Saya juga minta pasukan kita daripada jawatankuasa pengurusan bencana ini untuk meneliti di mana mereka perlulah memberi nasihat kepada penduduk khasnya apabila hujan masih lagi turun dan kita tidak mahu gelombang kedua berlaku. Nampaknya cuaca belum lagi stabil,” ujarnya lagi.
Beliau telah mengadakan lawatan di beberapa lokasi tanah runtuh seperti di Bukit Kanada, Kampung Lereng Bukit, dan Kampung Haji Wahed.
Dedah beliau, sekurang-kurangnya empat tempat di Bukit Kanada telah mengalami hakisan. – TVS