PUTRAJAYA, 4 Feb: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bakal menyambut hari ulang tahunnya yang ke-20 dengan sambutan edisi kali ini bakal diadakan di Persiaran Karpal Singh, Pulau Pinang pada 15 Februari nanti,
Sehubungan itu, Maritim Malaysia telah mengadakan Majlis Pra-Peluncuran Dua Dekad Maritim Malaysia bertema ‘Dua Dekad Maritim Malaysia, Perisai Samudera Negara’.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah dengan kehadiran barisan pengurusan tertinggi dan warganya di pekarangan Ibu Pejabat Maritim Malaysia di Putrajaya hari ini.
Pada majlis tersebut, turut dilancarkan logo rasmi sambutan Dua Dekad Maritim Malaysia beserta lagu rasmi sambutan bertajuk ‘Terpuji’ yang disempurnakan oleh Datuk Mohd. Rosli.
Sebagai gimik pelancaran sambutan, semua hadirin telah meluncurkan Seahawk Origami sebagai simbolik kepada ‘Helang Samudera’ yang mengambarkan imej Maritim Malaysia sebagai penjaga keselamatan dan keamanan perairan negara.
Majlis turut disaksikan Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Nor Hisham Ibrahim, Pengarah Pembangunan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Zulinda Ramly, Pengarah Sumber Manusia Maritim Malaysia, Ghazali Hizam dan Pengarah Komunikasi Korporat Maritim Malaysia, Salawati Yahaya.
Selain daripada itu, tugasan penting Maritim Malaysia ialah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat di laut. -TVS