KUCHING, 4 Feb: Jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sarawak menunjukkan trend penurunan dengan seramai 9,039 mangsa masih ditempatkan di 40 PPS di enam bahagian negeri ini hari ini berbanding 9,314 orang semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Jamri Masran berkata, keadaan banjir di kebanyakan kawasan juga semakin stabil dengan paras air mulai surut.
Bagaimanapun katanya, Mukah masih mengalami ketidaktentuan paras air, menyebabkan pemantauan rapi terus dilakukan oleh pasukan penyelamat.
“Walaupun tiada pemindahan mangsa baharu dilaksanakan, pasukan bomba bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak masih meneruskan pemantauan di lapan lokasi banjir melibatkan 28 kawasan rendah seperti di Lundu, Sibu, Kuching, Song, Tanjung Manis, Sarikei, Belaga dan Mukah.
“Bomba Sarawak akan terus memastikan operasi pemantauan dan bantuan berjalan lancar bagi memastikan keselamatan penduduk yang masih terjejas,” katanya ketika dihubungi TVS har ini.
Tegasnya lagi, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan agar terus berwaspada serta mengikuti perkembangan semasa dan arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan mereka. -TVS