KUCHING, 4 Feb: Masyarakat diminta sentiasa menjaga kebersihan diri terutama ketika berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi mengelak dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit.
Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr. Veronica Lugah berkata, golongan warga emas dan kanak-kanak mempunyai daya tahan yang kurang terutamanya bagi warga emas yang mempunyai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan lain-lain menyebabkan mereka mudah untuk dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit berbanding dengan remaja dan orang dewasa yang tidak mempunyai sebarang penyakit.
Menurutnya, penyakit yang biasanya berlaku semasa banjir adalah seperti jangkitan saluran pernafasan, batuk dan sesak nafas.
“Seseorang itu boleh mengalami batuk, sesak nafas mungkin disebabkan oleh radang paru-paru, penyakit asma dan mungkin juga jangkitan kuman dalam paru-paru ataupun pneumonia.
“Itu antara yang agak biasa berlaku. Mungkin juga mangsa mengalami masalah sakit kulit disebabkan terdedah kepada air banjir yang kotor, masalah jangkitan pada mata ataupun konjunktivitis yang terdedah kepada air banjir,” katanya kepada TVS hari ini.
Seterusnya kata Veronica, penyakit bawaan air dan makanan yang tercemar juga boleh menyebabkan sakit perut dan cirit-birit.
Selain itu, beliau juga memberitahu, mangsa-mangsa banjir perlu lebih berhati-hati selepas banjir kerana pada waktu itu mereka lebih terdedah untuk dijangkiti demam denggi atau malaria dan juga jangkitan yang disebabkan oleh kencing tikus.
Oleh itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah pencegahan awal agar penyakit berjangkit tersebut dapat diatasi.
“Dari segi pencegahan untuk penyakit demam denggi, kita nasihatkan kepada mangsa banjir selepas kembali ke rumah agar memastikan sampah-sarap terutamanya yang boleh menakung air dibuang pada tempat yang telah ditetapkan untuk mengelak daripada pembiakan nyamuk dan tikus,” katanya.
Beliau juga turut menasihatkan orang ramai untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dengan mengamalkan membasuh tangan sebelum dan selepas makan atau selepas ke tandas.
Bagi mereka yang tinggal di PPS katanya, dapatkan rawatan segera sekiranya mempunyai gejala seperti demam, batuk dan sebagainya.
“Untuk yang berada di pusat pemindahan sekiranya mereka mengalami penyakit yang senang berjangkit sebagai contoh penyakit jangkitan saluran pernafasan dan asma kita akan buat pemeriksaan dan kita akan berikan mereka rawatan yang sesuai seperti antibiotik.
“Sekiranya mereka mengalami masalah yang lebih serius, kita akan masukkan mereka ke hospital.
“Untuk mereka yang mempunyai jangkitan seperti sakit mata, cirit-birit kita akan asingkan mereka supaya tidak bergaul dengan yang lain dan mereka menggunakan fasiliti tandas yang berbeza untuk mengelakkan daripada tersebar kepada yang lain,” katanya.
Sehubungan itu, kata Veronica lagi, KKM sentiasa bekerjasama dengan pelbagai agensi yang terlibat pada musim banjir ini untuk bersama-sama memastikan mangsa yang tinggal di PPS mendapat makanan yang selamat bagi menggelakkan mereka daripada mengalami masalah kesihatan.
Mengulas lanjut, katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan memastikan mangsa-mangsa banjir yang telah kembali ke rumah masing-masing untuk membuang sampah ke tempat yang betul agar tidak menjadi tempat longgokan sampah di kawasan yang tidak sepatutnya.
“Sekiranya ada pakaian atau perabot yang telah ditenggelami air dan tidak dapat dibersihkan perlulah dibuang di tempat yang betul untuk menggelakkan longgokan sampah yang boleh menjadi tempat pembiakan tikus.
“Selain itu, saya ingin menasihatkan kepada mereka untuk memakai perlindungan diri seperti memakai sarung tangan getah dan juga kasut but supaya tidak tersentuh dengan lumpur yang kotor,” katanya. -TVS