KUALA LUMPUR, 4 Feb: Malaysia kekal komited untuk meneruskan dasar luar yang mengutamakan Centrality (kepentingan utama ASEAN) menerusi pendekatan bebas berkecuali, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, langkah berkenaan terbukti membuka peluang kepada Malaysia untuk bekerjasama dengan semua negara di sebalik ketidaktentuan geopolitik global yang berterusan.
Tambah beliau pendekatan diambil juga menunjukkan usaha negara dalam mengimbangi hubungan dengan kuasa besar dunia, termasuk China, Amerika Syarikat (AS), Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Mexico.
“Walaupun nampak kedekatan kita dengan China dan Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Mexico termasuk hubungan (namun) penglibatan (perdagangan) dengan AS diteruskan.
“Sehingga sekarang, kita tidak boleh mengambil tindakan yang terlalu pantas kerana ada ketidaktentuan, bukan sahaja geopolitik tetapi tentang beberapa keputusan yang diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump.
“Pertama, ada perubahan pagi semalam bila dia tidak akan teruskan dan memberi penangguhan pelaksanaan tarif untuk Kanada dan Mexico,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Guan Eng (Pakatan Harapan-Bagan) mengenai kedudukan Malaysia dalam perang perdagangan dunia susulan pelaksanaan tarif oleh Trump, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di sini.
Guan Eng juga ingin tahu sama ada Malaysia akan bekerjasama dengan China, Kanada dan Mexico serta langkah kewangan dan fiskal yang akan diambil untuk melindungi ekonomi serta rakyat Malaysia daripada kesan tarif tersebut.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, dalam tempoh sebulan akan datang, Malaysia dijangka akan menilai dan berkemungkinan mengubah beberapa dasar perdagangan namun bergantung kepada situasi semasa.
Jelasnya, usaha kerajaan untuk membuka lebih banyak jaringan perdagangan dengan negara-negara seperti Brazil, Peru, Afrika Selatan, Ethiopia, China dan Rusia kini menunjukkan hasil yang positif.
“Dengan jaringan ini, kita percaya boleh membantu dari sudut memberi ruang pelaburan baharu dan membuka peluang meneruskan dan meningkatkan eksport kepada negara-negara yang bertambah.
“Perdagangan dengan AS adalah (sebanyak) 11 peratus, itu agak tinggi dan eksport Malaysia ke AS masih kekal pada 13 peratus. Belum ada petanda ini (akan wujud) dampak yang negatif tetapi saya setuju, kita mesti ambil langkah-langkah proaktif,” ujarnya.
Selain itu, menurut Anwar, Malaysia juga terus memberi tumpuan kepada pertumbuhan domestik melalui beberapa pelan yang telah diumumkan, seperti pelan perindustrian, transisi tenaga dan digitalisasi.
Sehubungan itu, tambahnya, dengan dasar-dasar ini, Malaysia berharap dapat mengurangkan ketergantungan kepada ekonomi luar dan memanfaatkan peluang pertumbuhan yang lebih lestari dalam negara. – TVS.