Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk menangani isu ketagihan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan. Foto hiasan Envato

Dewan Rakyat: KPM perangi ketagihan vape dalam kalangan pelajar sekolah

ByAhmad Burhanuddin

KUALA LUMPUR, 4 Feb: Kementerian Pendidikan (KPM) komited untuk menangani isu ketagihan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan.

Timbalan Menterinya, Wong Kah Woh berkata, dengan pendekatan holistik merangkumi penguatkuasaan, pendidikan pencegahan dan kerjasama strategik, pihaknya yakin akan dapat membendung gejala itu demi kesejahteraan generasi masa depan.

“Usaha penguatkuasaan bagi mengawal gejala tidak sihat ini telah bermula sejak 2015. KPM telah mengeluarkan Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang melarang penggunaan rokok elektronik atau vape di sekolah.

“Murid yang melanggar larangan ini akan dikenakan tindakan disiplin, termasuk penggantungan persekolahan selama tidak lebih 14 hari.

“KPM sentiasa mengingatkan jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah, dan sekolah agar mematuhi surat siaran dan peraturan yang sedang berkuatkuasa,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Roslan Hashim (Perikatan Nasional – Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu tindakan KPM bagi menangani masalah ketagihan rokok elektronik dalam kalangan pelajar sekolah di sebalik kewujudan vape jenis magic mushroom.

Menurut Kah Woh, selain penguatkuasaan, kementeriannya percaya pendidikan pencegahan adalah kunci utama dalam usaha membendung ketagihan vape, antaranya menerusi inisiatif pelaksanaan Program Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa).

“Selain PPDa, KPM juga melaksanakan beberapa lagi program dan aktiviti pendidikan pencegahan seperti Skim Lencana Antidadah, Program Lima Minit Antirokok dan Vape, kelab junior antidadah serta Kempen Hidup Sihat Cegah Rokok dan Vape.

“Semua program dan aktiviti ini bermatlamat untuk menerapkan nilai kesedaran serta kefahaman murid tentang bahaya rokok elektronik serta membentuk jati diri yang unggul,” katanya.

Bagi memastikan pendekatan lebih berkesan, beliau menambah, KPM turut menjalin kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan (KKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Membasmi Dadah Malaysia.

“Usaha menangani isu ketagihan vape memerlukan tindakan bersepadu daripada semua pihak termasuk ibu bapa, guru dan masyarakat,” katanya. – TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan