KUALA LUMPUR, 4 Feb: Pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 di Sarawak akan dilaksanakan di kem Rejimen 511 Askar Wataniah (AW) mulai tahun depan.
Menteri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PLKN 3.0 diperkenalkan semula dengan beberapa syarat asas iaitu terpakai kepada semua remaja warganegara atau pemastautin tetap di Malaysia.
“Selain itu, pelatih hendaklah mencapai umur tidak kurang daripada 16 tahun dan tidak melebihi 35 tahun dan sihat fizikal serta mental untuk membolehkan mereka mengikuti pelbagai aktiviti yang telah dirancang sepanjang program,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (Gabungan Parti Sarawak – Igan) yang ingin tahu mengenai cadangan pelaksanaan PLKN 3.0 di Sarawak dan kriteria pemilihan pelatih serta modul latihan yang digunakan.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, pemilihan pelatih dibuat secara kerahan bersyarat dan terbuka kepada mereka yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh badan pelaksana PLKN.
“Mengenai modul latihan pula, PLKN 3.0 dirangka dengan pendekatan yang menggabungkan 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan.
“Gabungan ini bertujuan untuk membentuk generasi muda yang berdisiplin, berdaya tahan, patriotik dan memiliki kesedaran sivik yang tinggi,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap pelaksanaan PLKN 3.0 ini dapat melahirkan generasi muda yang lebih bersedia menghadapi cabaran serta berperanan sebagai warganegara yang bertanggungjawab. – TVS