MIRI, 4 Feb: Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut merasai kesan bencana banjir melanda Miri baru-baru ini yang menyebabkan kesukaran dalam pergerakan dan aktiviti harian mereka.
Setiausaha Persatuan Orang Kurang Upaya Fizikal Miri (POKUFM), Abdul Aziz Brahim berkata, beberapa ahli mereka mengalami kesulitan untuk keluar bekerja akibat jalan yang terputus hubungan selama beberapa hari.
“Ahli-ahli yang terlibat tidak dapat keluar rumah untuk bekerja kerana banjir yang menjejaskan akses ke jalan utama,” katanya ketika ditemui TVS di Pusat Aktiviti POKUFM hari ini.

Menurutnya, aktiviti yang dirancang di pusat berkenaan juga terpaksa dibatalkan kerana ahli-ahli terutamanya OKU tidak dapat hadir.
Abdul Aziz berharap pihak kerajaan memberi perhatian khusus kepada golongan OKU yang terkesan akibat bencana alam.
“Kami berharap adanya bantuan asas seperti makanan dan sumbangan kewangan bagi menampung kos pemulihan harta benda yang rosak. Selain itu, kelengkapan seperti water jet dan bahan pencuci juga sangat diperlukan bagi proses pembersihan pasca banjir,” katanya.
Dalam usaha meringankan beban ahli yang terjejas, POKUFM telah menyalurkan bantuan berupa makanan asas, bahan pencuci dan pakaian terpakai kepada mereka yang memerlukan.
Seramai empat individu OKU terjejas akibat banjir di kawasan Pujut Padang Kerbau, Pujut Sembilan, Senadin dan Bekenu. – TVS