MIRI, 3 Feb: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri menerima sumbangan berjumlah RM300,000 untuk membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di sekitar Miri.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sebanyak RM200,000 daripada jumlah tersebut merupakan sumbangan peribadi seorang penderma manakala RM100,000 lagi diberikan semasa lawatan Tahun Baharu Cina oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Jumaat lalu.
“Kami menerima RM200,000 daripada penyumbang kami dan RM100,000 lagi daripada syarikat Power Lines Sdn. Bhd. semasa lawatan Premier Sarawak.
“Secara keseluruhannya, kami telah menerima RM300,000 sebagai sumbangan untuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana.
“Bagi pihak jawatankuasa, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas sokongan yang diberikan kepada mereka yang terjejas oleh banjir, tanah runtuh serta operasi pemulihan yang sedang dijalankan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sesi perbincangan mengenai rancangan penempatan semula penduduk Kampung Lereng Bukit dan Haji Wahid serta penyerahan sumbangan peribadi daripada orang awam kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri di Pejabat Residen Miri, hari ini.
Setakat ini, sebanyak 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Bahagian Miri yang menempatkan seramai 1,513 mangsa daripada 402 keluarga.
Di Miri, lapan PPS menempatkan 657 mangsa daripada 182 keluarga. Sementara itu, di Subis, empat PPS menampung 748 mangsa daripada 167 keluarga, manakala satu PPS di Beluru menempatkan 108 mangsa daripada 33 keluarga. – TVS