MIRI, 3 Feb: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri akan melancarkan program gotong-royong secara besar-besaran bagi membersihkan kawasan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, program itu akan melibatkan penduduk terjejas dan pihak berkuasa tempatan.
“Kita tidak boleh menunggu pihak majlis kerana ia akan mengambil masa yang lama. Kita perlu segera membuang perabot rosak, sampah serta membersihkan lumpur di jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sesi perbincangan mengenai rancangan penempatan semula penduduk Kampung Lereng Bukit dan Haji Wahid serta penyerahan sumbangan peribadi daripada orang awam kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri di Pejabat Residen Miri, hari ini.
Kim Shin turut memaklumkan pasukan bomba akan membantu mencuci jalan berlumpur manakala Majlis Bandaraya Miri (MCC) bertanggungjawab menampal lubang jalan yang rosak.
Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) pula akan membersihkan parit tersumbat di kawasan perumahan seperti Permyjaya dan Pujut Tanjong Batu.
“DID telah diminta untuk membersihkan tumbuhan air dan teratai yang menyebabkan saliran tersumbat, terutamanya di kawasan perumahan di Permyjaya dan Pujut Tanjong Batu,” ujar Kim Shin.
Menurutnya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana juga menerima laporan bahawa kerja tanah di beberapa kawasan menyekat aliran air sekali gus menjadi punca utama banjir.
“Saya telah meminta Jabatan Tanah dan Survei menyiasat kontraktor yang bertanggungjawab serta mengalihkan sekatan supaya aliran air kembali lancar,” jelasnya.
Setakat ini, sebanyak 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Bahagian Miri yang menempatkan 1,513 mangsa daripada 402 keluarga. – TVS