ASAJAYA, 3 Feb: Kejohanan Badminton Yb Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah Edisi Ketujuh akan dilaksanakan dalam skala besar termasuk membabitkan penyertaan pemain wanita.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia bakal menyaksikan tiga kategori berasingan dipertandingkan termasuk veteran, terbuka dan wanita.
“Kelab Badminton Kampung Tambey mahu memanjangkan lagi acara pertandingan pada masa akan datang bukan saja untuk kaum lelaki tapi turut dibuka kepada wanita.
“Cadangan ini bukan saja memberi keceriaan kepada peminat badminton di kampung ini, malah menarik minat peserta dari luar khususnya di Kuching dan sebagainya,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Dalam perkembangan sama, Karim turut memaklumkan kejohanan badminton itu merupakan tumpuan utama pemain dan peminat bulu tangkis di sekitar kawasan Asajaya dan Samarahan.
“Pada tahun ini, acara tahunan ini telah mendapat begitu banyak penyertaan dengan membabitkan kira-kira 50 beregu berdaftar dan pada hari kemuncaknya saya dapat melihat penduduk dari lebih hadir menyaksikan pertandingan.
“Justeru, saya amat menggalakkan penganjuran kejohanan ini dalam usaha menarik minat pemain badminton di kawasan kampung selain dapat mengeratkan silaturahim sama ada antara agensi kerajaan dan sesama penduduk kampung itu sendiri,” ujarnya.
Selain itu, beliau percaya kejohanan itu berpotensi diperbesarkan dan dibuka secara lebih meluas kepada rakyat Sarawak suatu hari nanti.-TVS