MIRI, 3 Feb: Sukarelawan belia Kampung Muhibbah Niah turun padang untuk membantu pengurusan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Suai.
Ketua Kaum Kampung Muhibbah, Zehan Yaman berkata, belia kampung tersebut bersedia memberikan bantuan pada bila-bila masa terutama ketika bencana seperti banjir.
“Alhamdulillah mereka sentiasa bersiap sedia dan semangat mereka tidak pernah luntur. Apabila saya meminta tolong, walaupun di tengah malam mereka sentiasa bersedia. Malah ada dalam kalangan belia lelaki turut bermalam di PPS ini demi membantu mangsa yang memerlukan pertolongan,” katanya ketika ditemui TVS di PPS SMK Suai hari ini.
Menurutnya, penglibatan sukarelawan belia dalam operasi PPS memberi impak besar terutama dari segi persediaan dan menunjukkan keprihatinan kepada mangsa bencana.
“Sebenarnya apabila kita melibatkan belia dalam program bantuan ketika bencana, ia mempunyai impak besar kepada kami di PPS ini. Malah ia boleh membuka minda mereka dan menyemai rasa kebajikan dalam diri mereka supaya lebih bersedia apabila berlakunya bencana,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Biro Belia Kampung Muhibbah, Hana Aqilah berkata, pendekatan proaktif amat penting untuk menarik minat golongan belia menyertai aktiviti kesukarelaan.
“Mereka (belia) bukan tak nak membantu tetapi kebanyakan mereka malu hendak menonjolkan diri. Tetapi selepas mereka menyertai persatuan belia di kampung, ia membuka mata dan mereka lebih terdedah untuk bergaul dengan masyarakat. Ini membolehkan mereka mendapat keyakinan diri,” kata Hana.
Lebih kurang 20 belia turut serta sebagai sukarelawan di PPS SMK Suai yang dibuka pada 29 Januari bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Muhibbah, Kampung Iran Niah dan Kampung Dagang Niah. – TVS