MIRI, 3 Feb: Ketua Kaum Kampung Dagang Niah, Miri Zunita Mohamad Kadir menasihati penduduk kampung tersebut supaya sentiasa berwaspada terhadap binatang buas seperti buaya di sekitar kawasan rumah mereka.
Menurut Zunita, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) telah menemui dua ekor buaya yang muncul berhampiran kebun di kampung tersebut.
“Untuk penduduk kampung, pada waktu ini hendaklah sentiasa berwaspada dengan binatang buas di sekeliling kita. Kerana pihak kami ada menemui buaya di belakang kebun kita. Jadi kena berjaga-jaga.
“Kami juga sedang memantau. Jadi, mereka dinasihatkan supaya tidak membenarkan anak-anak kecil mandi air banjir di pekarangan rumah. Kita hendak mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada TVS ketika meninjau kawasan banjir di kampungnya di sini, hari ini.
Pada masa sama, Zunita turut berkongsi cerita mengenai kesukaran pihak berkaitan untuk menghantar bantuan kepada penduduk kampung.
Sama seperti situasi di Bekenu, penduduk kampung di sekitar Niah juga terputus hubungan jalan, bekalan makanan dan elektrik.
“Nasib baik keesokan harinya kita mendapat bantuan daripada Ahli Parlimen Sibuti Datuk Lukanisman Awang Sauni dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO),” ujarnya.
Mangsa banjir di Kampung Dagang Niah kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Suai. – TVS