BINTULU, 3 Feb: Ahli Parlimen Bintulu, Dato Sri Tiong King Sing mengeluarkan amaran keras terhadap kumpulan gengster yang mengancam keselamatan di Bintulu dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas tanpa kompromi.
Kenyataan ini dibuat selepas tular sebuah video di media sosial yang menunjukkan kejadian serangan ganas yang mana seorang individu menggunakan gunting untuk mencederakan mangsa.
“Saya dimaklumkan bahawa suspek telah menyerah diri kepada pihak polis. Saya menggesa Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintenden Nixon Joshua Ali dan pasukannya untuk mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang.
“Tiada ruang untuk kompromi, gengsterisme mesti dibanteras habis-habisan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi miliknya pada Isnin.
Beliau menekankan bahawa insiden keganasan seperti ini tidak boleh dibiarkan berulang dan tindakan segera perlu diambil sebelum keadaan menjadi lebih buruk.
“Ini adalah amaran terakhir, saya tidak mahu melihat kejadian seperti ini berlaku lagi, mereka yang terlibat dalam aktiviti gengsterisme harus berhenti sekarang sebelum terlambat.
“Jika terus melakukan jenayah dan mengganggu ketenteraman, mereka akan berdepan dengan tindakan keras pihak berkuasa,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan bahawa kumpulan gengster di Bintulu semakin melampaui batas, dan jika pihak berkuasa tidak bertindak segera, kumpulan ini mungkin merasakan bahawa mereka kebal daripada undang-undang.
“Saya ingin tegaskan bahawa saya tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam jenayah. Saya sentiasa menyokong undang-undang dan tidak akan berkompromi dengan keganasan atau aktiviti jenayah,” jelasnya.
Beliau turut menyeru agar sebarang pertikaian diselesaikan melalui saluran yang sah dan bukan melalui keganasan atau ancaman.
King Sing berharap untuk melihat rakyat Bintulu hidup dengan aman, selamat dan harmoni tanpa kegusaran dalam kalangan masyarakat.
“Bagi mereka yang mahu menggunakan pengaruh geng untuk menimbulkan ketakutan dan mengganggu masyarakat, saya akan berdiri teguh bersama pihak polis bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dijalankan dengan tegas tanpa pengecualian,” kata Tiong.-TVS