KUCHING, 1 Feb: Rumah Singgah Dawn Hope: A Safe Haven For Girls In Need, rumah transit bagi remaja hamil bawah umur pertama di Sarawak akan ditubuhkan di Kuching menerusi inisiatif yang diterajui Yayasan Sime Darby bersama Pertubuhan Pembangunan Insan Sarawak (PPIS).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, rumah singgah tersebut akan menjadi pusat perlindungan sementara kepada remaja hamil bawah umur yang memerlukan.
Menurut Nancy, lokasi rumah singgah itu tidak juga akan didedahkan kepada umum demi menjaga keselamatan penghuni.
“Kami telah mengenal pasti, tetapi kami perlu berwaspada mengenai tempat perlindungan itu dan lokasinya, kerana itulah perkara utama. Kami berada di sini untuk membantu, tetapi pada masa yang sama, kami mahu mengelakkan sebarang pihak yang mungkin mempunyai niat lain.
“Oleh itu, perkara ini akan dikendalikan oleh PPIS di bawah Manjeet Kaur (Presiden PPIS),” katanya pada sidang media selepas Majlis Dawn Hope: A Safe Haven For Girls In Need, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Sime Darby, Tunku Tan Sri Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja’afar dan Presiden PPIS, Manjeet Kaur Sidhu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr Yatela Zainal Abidin berkata, remaja yang hamil akan menetap di rumah singgah berkenaan dalam tempoh sekitar tiga hingga empat bulan, bergantung kepada keperluan mereka.
“Mereka (remaja hamil) tidak akan berada di sana untuk jangka masa yang panjang. Sepanjang tempoh itu, mereka akan menerima penjagaan kesihatan serta mengikuti pelbagai program.
“Setelah bayi dilahirkan, mereka akan membuat keputusan sama ada ingin menjaga bayi sendiri atau sebaliknya. Mereka juga diberikan latihan yang bersesuaian untuk membantu mereka berdikari.
“Selain itu, walaupun mereka meninggalkan rumah perlindungan, pihak kami akan tetap memberikan sokongan, sama ada mereka kembali ke pangkuan keluarga atau menetap di tempat lain,” ujarnya.
Tambah Dr Yatela, para remaja yang ditempatkan di rumah singgah itu bukan sahaja dari Kuching, tetapi juga dari pelbagai kawasan lain di luar bandar yang mana terdapat beberapa kes telah dikenal pasti dan sedang menunggu giliran untuk mendapat perlindungan di pusat tersebut. – TVS