SIBU, 1 Feb: Peruntukan tambahan untuk meringankan beban mangsa bencana akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Hasrat itu menurut beliau susulan peruntukan tambahan berjumlah RM10 juta kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) sebelum ini tidak mencukupi.
“Oleh itu, saya akan bawa (peruntukkan tambahan) kepada kabinet supaya usaha membantu mereka yang memerlukan boleh diteruskan terutamanya dalam keadaan musim banjir ini,” kata beliau.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Perhimpunan Tahunan Tahun Baharu Cina Gabungan Persatuan Cina Bahagian Sibu (UCA) di sini, hari ini.
Abang Johari turut menzahirkan simpati dan keprihatinan dengan keadaan mangsa tragedi banjir dan tanah runtuh dan bantuan sewajarnya akan terus disalurkan.
“Saya berkesempatan bertemu dengan keluarga mangsa tanah runtuh di Miri dan juga penduduk yang terjejas akibat banjir Bintulu.
“Saya dimaklumkan dalam tempoh lebih 30 tahun, ini merupakan banjir yang teruk melanda Bintulu. Sebelum ini dalam setahun, kadar hujan yang turun di Bintulu ialah 100 milimeter. Namun pada hari tersebut (banjir melanda) Bintulu menerima kadar hujan yang turun sebanyak 900 milimeter,” ujar beliau.
Selain Bintulu dan Miri, beberapa kawasan di Sarawak seperti Serian dan Kuching turut terjejas akibat banjir. -TVS