KUCHING, 1 Feb: Bekas penjaga gol Sarawak era Ngap Sayot, Matassan Abon,63, meninggal dunia dipercayai akibat komplikasi buah pinggang ketika menerima rawatan di sebuah pusat perubatan pakar di Miri malam tadi.
Beliau yang juga pernah bertugas di MCC Majlis Bandaraya Miri (MBM) menghembus nafas terakhir kira-kira jam 9.40 malam.
Pasti ramai yang mengenali figura ini yang juga tonggak utama pasukan Miri sekitar tahun 1985-1987 dan skuad MAKSAK Sarawak pada tahun 1988 sebelum menyarung jersi Ngap Sayot pada tahun 1989-1990.
Rakan yang juga bekas Jurulatih Sarawak, David Usop menyifatkan Allahyarham adalah rakan yang amat baik, seorang yang pendiam dan mudah tersenyum.
“Allahyarham adalah penjaga gol utama semasa bermain untuk pasukan Miri pada tahun 1985 dalam pertandingan Piala Sarawak dan MAKSAK Miri, pada tahun 1988 saya bermain untuk pasukan MAKSAK Sarawak bersama beliau.
“Selepas mewakili MAKSAK Sarawak, dia terpilih untuk bermain pada era Ngap Sayot di bawah kendalian jurulatih, Awang Mahyan Awang Mohammad,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
David turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan berharap mereka tabah menghadapi ujian ini.
Jenazah Allahyarham diuruskan di Masjid Darul Istiqamah Kampung Luak pagi ini selepas solat Subuh dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Beluboh, Jalan Bakam .-TVS